Thursday, January 7, 2010

SENJA HARAM

Senja itu, fikir Saiful Izham, dia cuma mahu meladeni fikirannya
yang melarat. Kesal juga berlama-lamaan di pasar kurma . Memang tidak
membawa wang begitu banyak .RM pun jatuh meredum .Sejak awal-awal lagi
matlamatnya cuma beribadah dan bertaubat habis-habisan. Sebab memikirkan
ramai yang tahu dia kesini. Dia  gagahi juga untuk membeli beberapa
jenis tamar. Ada tamar sukari, deglat, sefri, syukulat, ambar  dan tentu
sekali tamar Rasul - si ajwa yang lemak manis . Layan benar nafsu
membeli , hampir-hampir terlepas solat maghrib berjemaah .
     Dari dataran Masjid  Nabi, angin kering panas menerpa
memecah-memecahkan bibir dan tapak kaki. Kulit merekah disana-sini
.Kubah hijau tersergam hebat, dia dapat melihat dari sini , makin ramai
manusia berpusu-pusu menziarahi makam Rasulullah yang bersebelahan
dengan makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
     Tiang-tiang kubah mekanikal tegak bersusun-susunan.Dia membayangkan
kalau kubah itu dikembangkan tentu beregis-regis cantik .Besarnya Masjid
Nabi ini sudah merebak-rebak hingga ke perkuburan Baqi' .
     Imannya bergoncang hebat di sana sini. Rasa kecil memikirkan semua
yang berlaku .Setiap bukit, pohon , pasir dan kerikil merakam sejarah ,
ia mencatat sirah Nabawiyyah . Pagi tadi ketika di bawa ke Uhud, dia
menahan sebak .Uhud adalah kisah keimanan yang tiada banding.Kisah
kepatuhan, pengorbaan diri dengan keluhuran jiwa dan dengan kemulusan
perasaan teragung.
 Terbayang-bayang Mus'ab bin Umair,  teruna manja hidup  mewah,
mendadak diberi hidayah memeluk Islam.Kekayaan itu direntap oleh ibunya
yang kufur. Dia lantas hidup sederhana, terlalu sedehana dengan keimanan
hingga tatkala syahidnya di medan Uhud, jenazah mulia itu terpaksa
dikebumikan dengan ditutupi rerumput idhkir di atas kaki.
     Juga dia lebih bersedu mengenangkan Abu Dujanah menjadikan tubuhnya
perisai melindungi Rasulullah  hingga tertusuk-tusuk oleh anak-anak
panah musuh di belakang badan.
     Lebih haru tentulah kesyahidan Saidina Hamzah yang jantung dan
paru-parunya dikorek dan dimamah-mamah Hindun. Akan tetapi saban masa,
fikirnya , berpusu-pusu umat Islam menunaikan haji atau umrah dan
melengkapi dengan ziarah. Tiada hasil tiada natijah .Bila pulang tiada
sedikit pun kesan jihad  pada diri baginda itu terpalit bersama
Mengutip teladan
     Mereka datang dan pergi lalai menguti teladan serta pengajaran di
kota Rasul ini. Akan kemanakah muslim ? Bukankah Iqbal ,  penyair agung
itu ada mencatat betapa kasih cinta kita makin kurang terhadap Nabi
Muhammad SAW.
     Senja itulah, kala Saiful Izham sedang larut mengenal-ngenal dan
merasa-rasa detak jiwa umat,  dia ditegur Mohtashemi, pemuda Iran yang
rupa-rupanya beberapa lama memerhatikan diri penuh minat. Kemudian dalam
penerbangan dari Madinah ke Jeddah , dalam ihram untuk ke Mekah , sempat
pula berkenalan dengan Melayu Afrika Selatan yang baru berkahwin dua
minggu. Muhammad Munir dan Shereen. Kacak dan jelita .Sama-sama  padan.
     Senja inilah , selepas dua tiga hari di Masjidil Haram, ulang alik
menginap di Makkah Hilton yang agam gah itu, mereka bertemu semula bagai
saudara. Sedang fikiran  Saiful masih pergi datang dan perca-perca
sejarah umat Islam sekejap singgah menjengah dan lari tergesa, Dalam
benak terbayang cemuhan dan  penghinaan diterima Rasulullah sebelum
hijrah.
     Seketika terkesima diusik gambaran ngeri pemberontakan rakyat
Mesir, hingga membunuh khalifah ketiga , Saidina Uthman. Larut diterjah
peristiwa serangan tentera Tartar ke atas empayar Islam.Dia pedih luar
dalam.Ketika terngiang-ngiang  bacaan merdu tinggi rendah dan sesekali
pekik Imam Sudaisi yang mencuit-cuit hati itulah mereka bagai tidak
percaya boleh berjumpa lagi. Langsung ke telaga zam-zam bersama-sama dan
senja esok berjanji untuk mengerjakan umrah bersekali.
     Sekarang, senja di al-Haram. Mereka menunaikan permuafakatan
semalam.Mereka ambil bas ke Saptco dua tingkat ke Tanaeim untuk berniat
ihram. Setelah maghrib bergegaske stesen bas di bahagian kanan Hilton.
Bas akan melalui jalan At-Tayseer. Tidak jauh , istana Ajyad memandang
mereka.
     Mohtashemi , pelajar Usuluddin di Qom Muqaddasa ( pengkalan Imam
Khomeini melancarkan gerakan politik bertenaganya itu.) Tinggi tegap,
hidung mancung dan kuilt kemerah-merahan dengan jambang halus-halus.
     Entah mengapa mengingatkan Saiful kepada pelakon Antonio Banderas.
Muneer  meninggalkan isterinya bertawaf sunat di Haram.Tinggi hampir
menyaingi , bercakap laju dan selalu membetulkan cermin mata -  lebih
acuan lelaki India dari Melayu - bisik resik dalam hati.Mungkin sahaja
Melayu kacuk akar itu kacuk akar ini, hingga 'Melayu'nya kurang pekat
tepancar di wajah.
     Dalam perjalanan ke Tanaeim yang sepatutnya pendek, tetapi menjadi
panjang kerana bas mengambil  pelbagai jalan dan membelok masuk
berbagai-bagai simpang - Mohtashemi si provokatif , memilih topik,
tamadun atau umat Islam bahagian manakah akan menerajui Islam selepas
ini - tajuk perbincangan yag menarik tetapi jadi kecamuk buat Saiful
yang suka berkhayal mengembara ke zaman-zaman belakang . " Bagaimanakah
membina tamadun baru yang betul-betul bertenaga?" tanya Muneer.
 
Mencipta tamadun
     " Lihat dari kaca mata Shariati ," kata Mohtashemi.
     " Ali Shariati ? Sosiologis Iran ?"  tanya Saiful bersunnguh.

     " Dua syarat penting untuk betul-betul mencipta tamadun jaya."
     " Apa ?" tanya Muneer tidak sabar.
     Jalan-jalan yang dilalui  bas ini , nyata sempit, gelap dan
lampu-lampu jalan tidak berfungsi di kiri kanan. Bas melepasi Sekolah
Rendah Al- Saidah di kanan. Kedai-kedai makan  terasing hidup segan.
Tetapi di musim haji tentu hidup berani. Bengkel kereta, kedai gunting
rambut kurang sibuk.
     "Pertama fenomena migarasi atau hijrah.. Ingat Nabi kita berhijrah
ke Madinah untuk membina masyarakat baru. Sebelum itu umat Islam
berhijrah ke Habsyah . Kedua-duanya , Ali Shariati melihat faktor
manusia itu sendiri , mendasar kepada ayat al-Quran  yang bermaksud :
Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum , jika mereka sendiri tidak
mahu mengubahkannya.
 Saiful sedih pedih mengenangkan Saidina Uthman yang membeli telaga
Raumah untuk minuman Muslimin dan membeli tanah untuk meluaskan masjid
Nabi   dikepung kejam pemberontak. Khalifah tua itu dan keluarganya
dihalangi dari keluar rumah .
     Bekalan air putus.Ummul-mukiminin, isteri Nabi, Habibah Abi Sufiyan
yang datang menatang air sejuk dipukuli muncung keledainya dan tali
pelana diputuskan . Nyaris jatuh tersungkur.
     Dan rupa-rupanya benteng dari kalangan Abdullah bin Umar, Abdullah
bin Zubair dan cucu-cucu Rasulullah, Hassan dan Hussein tidak bisa lagi
menahan pembunuhan ke atas sahabat Nabi yang dijanjikan syurga itu.
     "Ibnu Khaldun menekankan pegangan kepada agama ialah unsur paling
utama dalam mencipta  sebuah tamadun. Usia tamadun itu akan lebih
terjamin lama jika penghayatan  terhadap agama lebih kuat. Juga
kemewahan yang dinikmati buleh merosakkan tamadun kalau tiada 'moral
order'  berkuasa untuk mewarisinya.
 Suara Muneer menyentak Saiful di alam nyata dan dia terkenangkan
tamadun Melaka yang perkasa itu runtuh oleh alpa kemewahan dan cepat
direbut Portugis.
     "Malek Ben Nabi , pemikir Algeria itu pun setuju kekayaan hidup
menjurus kepada kejatuhan moral roh manusiawi, pengumpulan harta tanpa
tunjang agama dan budaya akal menghuru-harakan," Mohtashemi mengambil
giliran memberi pandangan.
     "Saiful, apa kata Saiful?" soal Mohtashemi keras, suara meningkah
deru enjin yang menenggelamkan deru enjin sejenak diskusi mereka.
     "Setuju.Emile Durheim sendiri melihat kemodenan meruncing
menjadikan manusia gawat kacau.Timbul masalah mal-adjusment  atau
kegagalan manusia untuk hidup dalam suasana baru .Seperti Ibnu Khaldun,
Durkheim pun ikut menyebut, kesatuan sosial dalam masyarakat asas kepada
tamadun maju," Saiful memberi hujah.
     Tiba-tiba dia teringat tamadun yang sedang mekar di negaranya.Hebat
gagah. Selesa santak semua orang lupa, lalu penyakit masyarakat mula
berbenih bercambah.Akhlak lupus dan berantakan.  Masyarakat  atas bawah
boros. Juga spontan diri terkenangkan kejatuhan RM, ketika dia baru tiba,
RM100 bersamaan dengan 128 Saudi Riyal. Kini kejatuhan menjunam-junam,
RM 100 bersamaan 107 Suadi Riyal . Javid , sarraf atau penukar wang
bersebelahan Hotel Asia menyindir pahit.
     "Kerana Soros atau kerana boros?"
     "RM..ringgit Malaysia atau rupee Malaysia?"
    "Iya, kemewahan menyebabkan keruntuhan akhlak dan keborosan
meruntuhkan ia lagi.Padah melewakan nilai spiritual."
 

     Bas mengambil jalan al-Haj melintasi hadapan Thaqafa Book
Store.Deretan kedai  barangan antik ditinggalkan.Penumpang di ambil dan
diturunkan sesuka hati di mana-mana.
     Masjid Tanaem kelihatan.. Mereka turun sembahyang sunat ihram dan
berniat, lalu naik semula bas yang lain . Sedia menunggu.
     "Jadi bangsa mana selepas ini memimpin dunia Islam?Semua bangsa
sudah merasa sebagai peneraju kecuali Melayu!" Mohtashemi membuka
perdebatan baru.
     Saiful teringatkan pandangan Profesor Sayyid Naquib al-Attas,
kedatangan Islam telah merubah alam Melayu seluruhnya.Melayu berubah
dari ranka mitos ke rangka fakta, akliah  dan intelektualisme.
     "Ingat surah al-Imran ayat 140 - Dan hari-hari kejayaan  itu
dikurniakan kepada umat manusia dengan bergiliran." Sambung Muneer
.Wajah campur Melayunya berseri-seri .
     Saiful Izham terdiam. Sesak untuk menerima hakikat yang Melayu yang
diharap-harap akan menjadi pemimpin umat Islam .Dia terkenangkan bohsia
dan bohjan  di Kuala Lumpur.Terbayang ratus ribu Melayu jadi penagih
dadah di belakang Lorong Haji Taib.
 
Takhta Ulung
 
     Tergambarkan sekian banyak penzinaan berlaku dan sekian banyak bayi
dibuang
     Ciri-ciri tamadun unggul yang ditetapkan Ibnu Khladun, Ali Shariati
dan Malek Ben Nabi  itu hampir tiada pada orang Melayu, dia berani
berfikir begitu .Biarlah nanti orang kata dia pesimistik Kejujuran tidak
boleh ditutupi dengan kemunafikan dan solek hipokrit tebal.
     "Banyak lagi yang perlu diperbaiki Melayu untuk mendapat takhta
ulung itu. Terlalu banyak.."Itu sahaja jawapan yang mampu diberi
     Bas begerak, tidak jauh dari pusat sukan , ia membuat pusingan U
sebelum tersangkak perlahan di hadapan pusat pemeriksaan Muslim .Sebelum
itu mereka terpesona dengan reruntuhan  tembok Zubaidah. Seketika
tersekat  di hadapan Mustasyfa Malik Abdul Aziz.
                            Bas mengambil Jalan Hassan Ibnu Thabit sekali lagi , langsung masuk
kebahagian  Mekah yang sibuk .Kedai kebab berderetan sebelum tiba di
hadapan Pusat Panggilan Antarabangsa Andalusia.Bas memasuki  2nd Riang
Road, di kanan apartment mewah Ghailmah Tower berdiri teguh.
     Bas meneran payah tergigil-gigil  kala mendaki bukit kecil dengan
hotel dan bilik kediaman murah sesak di kiri kanan. Bas elok-elok turun
tidak jauh dengan hotel dan bilik kediaman murah dari pintu mengarah ke
bukit Marwah. Seratus meter dari Maulid Nabi  ( tempat kelahiran
Rasulullah) yang kini sudah dijadikan Maktabah ( perpustakaan) . Mereka
bergegas masuk ke Masjidil Haram . Takjub dengan keagungan Kaabah.
     Senja merah jingga al-Haram selesai. Azan Isyak berdengung
dilaungkan . Mereka terapung bahagia…



0 comments:

Post a Comment